Wednesday, November 16, 2011

1: Selangkah Menuju Cinta


"Lyn !! Dah dah la tu membuta. Matahari dah naik terik kat atas kepala, kau masih lagi berbungkus dalam selimut tu. Datang dapur tolong mak ni haa. Nama je anak dara, tapi memasak satu hape pun tak tahu. Mak tak tahulah kalau dah kahwin nanti macam mana, hari-hari goreng telur makan dengan kicap la agaknya laki kau tu.” Kedengaran suara dari dapur.

Alamak.. Radio buruk dah bunyi dah. Boleh cair taik telinga aku kalau hari-hari macam ni. Bising betul la mak aku sorang ni, punyalah aku duk seronok bermimpikan putera kayangan tadi, kacau daun betul la.” Omelku dalam hati.

“Lyn !! Ooo Lyn!!! Tak reti-reti nak bangun lagi ke?” Jeritnya lagi. Kedengaran lagi dia duk membebel dan yang pasti aku malas nak ambil port. Dengan rasa tak bersalahnya aku menarik semula selimut ke muka dengan harapan dapat bertemu putera kayangan tadi..

Tetapi..
“Lyn.. Kau memang nak uji kesabaran mak kan. Mak kata bangun. Tengok jam dah pukul 11 pagi ni, ayam kat belakang rumah tu pun semua dah bangun cari rezeki tahu tak. Tapi kau.. Masih lagi berlingkar kat atas katil ni.”

“Aduh mak, sakit la. Jangan la mak. Orang dah nak bangun la ni.”

Sambil tangan memegang senduk dan memukulku. “Bangun aku kata.”

“Aduh mak.. Aduh.. Alaa.. Tak sporting la mak ni. Ada pulak main pukul orang dengan senduk.”

“Ahh.. Takde nak sporting-morting, nanti bila takde orang nak buat kau tu jadi bini, baru kau tahu mak kau ni sporting ke tak. Dah.. Cepat pergi mandi. Tolong mak kat dapur tu.”

Sambil bangkit bangun dari katil menuju ke cermin. “Yelah. Orang dah bangun la ni”

“Mak ingat, bila kau cuti semester ni, mak boleh la nak senang lenang goyang kaki nak rasa kau tu memasak, kalau macam ni lah gayanya, tak berasap la dapur ni karang. Mati kebulur la ayah kau nanti tahu tak.”

“ Hish mak ni. Ada pulak doakan ayah mati kebulur. Tak baik tahu mak.” Sambil tergelak –gelak aku membetulkan rambut yang kusut masai mengalahkan orang tiga suku kat tepi bangunan kaki lima.”

“Dah. Jangan nak banyak songeh, cepat siap.”

Dengan gaya terpaksa aku mencapai tuala dan menuju ke bilik air. Aku sempat senyum nakal ke arah mak sebelum menutup pintu bilik air.

Beginilah rutin harianku. Setiap pagi akan ada je Dj radio kat rumah ni dan semua ini bermula apabila aku berada di rumah untuk menghabiskan cuti semester. Sebagai seorang perempuan, aku mempunyai satu kelemahan iaitu tak pandai  memasak. Atau lebih senang lagi aku ni spesies yang malas nak belajar masak.

Umur dah menjangkau 22 tahun, tak lama lagi akan menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Kemudian aku akan bergelar sebagai seorang guru. Satu profesion yang bagi aku amat berat untuk dipikul. Satu pekerjaan yang cukup mulia.

selesai je mandi dan kemas bilik, aku terus menuju ke dapur dengan gaya bersahaja memakai seluar panjang berwarna hitam dan t-shirt lengan pendek berwarna putih, rambutku diikat sanggul di belakang. Kelihatan mak sedang khusyuk mengacau sesuatu di atas dapur. Tiba-tiba muncul idea jahat dalam kepala sambil tersenyum-senyum. Kemudian..

“Opocot mak kau meletup. Nangka jatuh dalam sup. Ishh geram sungguh aku dengan budak ni, bertuah punya budak.” Aku ketawa berdekeh-dekeh sambil memegang perut yang bagai nak pecah tu. Lawak betul la mak aku ni, dalam melatah pun sempat lagi berpantun. Agaknya masa mak muda-muda dulu, dia johan pantun tak. Aku tersenyum sendirian.

“Alah mak ni, orang gurau jela. Mak tu haa.. Ingatkan nangka ke apa sampaikan melatah pun cakap nangka jatuh dalam sup. Siap berpantun bagai. Hebatlah mak berpantun.”

“Kau baru tahu ke, dulu masa mak duk bercinta dengan ayah kau, kami berbalas pantun tau.” Ketawa mak.

Aku melopong. “Yeke mak? Cayalah mak.”

“Ooh ya, cakap pasal nangka, pokok nangka yang kat belakang rumah tu dah masak dah. Ayah kau dah petik semalam. Ada kat dalam peti ais tu. Pergi la makan.”

“Uisshh.. Bestnya. Dah lama tak makan nangka ni mak.” Sambil membuka peti ais dan mengambil nangka yang dimaksudkan mak.

Aku duduk di meja dan makan beberapa ulas. Manis rasanya buah ini, dah la isinya tebal, rasanya pun memang ranum, memang puas hati dan memang terbaik.

“Ayah mana mak? Tak Nampak pun dari tadi.” Sambil mulut penuh dengan nangka tadi, aku melilau-lilau ke sekeliling mencari kelibat ayah.

“Ayah kau pergi  rumah Haji Yusof. Ada hal katanya.” Jawab mak sambil merasa sup tulang yang sedang mendidih di atas dapur tu.

“Oohh… Abang tak cuti ke mak? Dah 4 bulan abang tak balik kan. Entah-entah balik kali ni dah gemuk kan mak.”

Abang Fazrul sekarang belayar merantau ke negeri orang. Kali terakhir aku dengar khabar darinya, dia berada di Indonesia. Abang Fazrul sebenarnya sudah kematian isteri 3 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya dan meninggalkan sepasang cahaya mata. Sehingga kini, Abang Fazrul masih belum menemui pengganti.

“Abang kau katanya balik bulan depan. Minggu lepas dia ada telefon mak, dia kat Labuan. Bulan depan balik la tu. Wan dan Wana tu, dah rindu sangat dekat ayah dia.” Terang mak.

“Mana taknya mak. Dah 4 bulan kot abang tak balik. Abang tu tak nak kahwin lain ke mak? Orang tengok Kak Minn yang kat hujung kampung tu macam syok je kat abang. Wan dengan Wana pun dah rapat sangat dengan Kak Minn tu. Si Wana tu, dah anggap Kak Minn tu macam ibu dia dah.” Bicaraku panjang lebar.

“Yelah. Masa arwah kemalangan dulu umur Wana baru 2 tahun. Dia tak tahu papepun lagi masa tu” sambung mak pula.

Kasihan dekat Wana dan Wan, semenjak arwah Kak Su tak ada, kami lah tempat mereka menumpang kasih sayang. Tapi kasih sayang seorang ibu mungkin tak sama dengan kasih sayang yang dicurahkan orang lain.

“Kita kahwinkan je abang dengan Kak Minn tu nak tak mak.” Jeritku tiba-tiba.

“Yang kau tanya mak ni kenapa, bukannya mak yang nak kahwin. Tanyalah abang kau sendiri. Entah-entah si Minn tu pun dah ada pilihan dia sendiri. Kau duk sibuk-sibuk cakap pasal kahwin ni kenapa? Dah tak sabar-sabar nak kahwin sangat ke? Masak pun tak reti, ada hati nak cakap pasal kahwin.” Rungut mak lagi. Daripada tadi tak habis-habis lagi isu masak-memasak ni. Memang dah sah, cair la taik telinga aku lepas ni.

“Eh ke situ pulak mak ni. Siapa yang nak kahwin, orang tanya jela. Tu pun untuk abang, bukannya untuk Lyn. Lyn tahulah yang Lyn belum layak lagi nak kahwin. Masak pun tak reti. Mak jugak yang cakap kan. Lyn belum sampai seru lagi la nak kahwin mak.”

“Hah.. Tahu pun.” Bebel mak.
Kemudian, masing-masing sepi melayan perasaan sendiri. Mak sedang khusyuk mencuci pinggan mangkuk yang dah penuh singki tinggi menimbun mengalahkan gunung tahan tu, manakala aku masih lagi leka memakan nangka sehinggakan tak sedar kehadiran seseorang dari arah pintu belakang.

Tiba-tiba terdengar suara orang melatah, “Oppocott .. Potong kuku malam jumaat.” Mak mencebik ke arah ayah.

“Hishh.. Apalah abang ni. Anak dengan ayah sama je. Suka sangat nak mengusik saya. Dah takde kerja lain agaknya. Nasib baik saya ni bukan pesakit lemah jantung. Cuma ada kencing manis je. Kalau tak, mau kus semangat saya tadi bang oii.” Leter mak lagi.

Ayah masih lagi tersenyum. Bahagia barangkali dapat mengusik isteri kesayangannya itu. Aku turut sama menyumbang ketawa ketika itu. Emak mula menunjukkan reaksi tak puas hatinya, namun ayah pandai memainkan peranan dengan bergurau cubit-cubit manjanya tu.

“Alah awak ni pun, abang nak bergurau jelah. Ada ke pulak melatah potong kuku malam jumaat, malam ni malan rabu la Mah oii.” Sambil mencuit pipi mak.

Mulut mak masih mengatakan sesuatu. Ayah pula masih lagi tersenyum nakal sambil tangannya mencapai buah nangka di atas meja.

Aku sebenarnya kagum dengan mereka, perasaan cinta mereka tak pernah padam sehingga sekarang, masih lagi utuh walaupun sudah lebih 30 tahun hidup bersama. Hari-hari mereka penuh dengan usikan dan gurauan manja ayah. Walaupun mak terkenal dengan dj radio buruk kat rumah tu, tapi mak tetap seorang isteri yang taat dan patuh kepada ayah dan bagi kami, mak adalah ibu terbaik di dunia ini. Mungkin orang tak tahu, tapi bagi kami, mak memang seorang yang cukup penyabar dan tak cepat melatah.

Ayah selalu usik mak. Kata ayah, “Kalau dulu awak tak sibuk-sibuk nak kahwin dengan abang, mesti abang dah jadi professor sekarang ni tau. Tapi tu lah, sebab nak kahwin punya pasal lah saya berhenti sekolah. Yelah, nak tanggung anak pak cik Daud sorang ni kan.”

Mak pula akan balas, “Elehh. Bukan abang tu ke yang sibuk nak mengorat saya, sanggup datang nak tolong arwah ayah buat bot la kononya, padahal nak mengintai saya kan. Abang ingat saya tak tahu.”

“Cik Lyn, Wana pun nak jugak nangka tu. Ooo. Makan sorang-sorang ea.” Jerit Wana yang entah dari mana datang bersama abangnya bersama sebiji bola di tangan. Baru balik dari main bola barangkali.

“Mana pulak cik Lyn makan sorang-sorang. Kan cik Lyn makan dengan atuk ni. Kan ayah?” Sambil menjelirkan lidah ke arah Wana. Tak senonoh punya mak cik.

“Elehh. Abang tak kisah pun la. Semalam abang dah makan pun.” Balas Wan. Mungkin tak berpuas hati dengan telatah aku sebentar tadi kepada adiknya.

Wana bertindak membalasnya dengan jelingan maut. Dia menghampiri singki dan membasuh tangan. Kemudian dia datang dan duduk di sebelah aku dan makan bersama.

“Tadi cik Lyn makan, Wana tak ada. Pergi mana? Main bola dengan abang eh?” Tanyaku.

“Ha’ah. Main dengan abang dan yang lain-lain.”

“Abang betul tak nak ke ni? Kang kalau cik Lyn habiskan, jangan marahkan cik Lyn pulak.” Aku memandang Wan.

Tangannya kelihatan mula mencapai pinggan yang berisi nangka. Aku dengan tak matangnya, menarik nangka tersebut  ke sebelah tanda taknak bagi kepada Syazwan. Dia pula dah mula buat muka seposen dia tu.

“Nek, tengok lah cik Lyn ni, ada pulak main aci tarik-tarik, kongsi la jugak. Abang yang tolong atuk petik semalam tau.”

“Eh, tadi bukan ke abang cakap tak kisah kalau tak makan. Ni cakap lain pulak. Tuhan marah tau cakap berbelit-belit macam ni.” Jawabku sengaja nak menyakat sebab abang memang pantang kalau di sakat, mesti mengadu kat mak. Cucu kesayangan nenek lah katakan.

“Memang la, tapi cik Lyn cakap nak habiskan. Abang nak la juga rasa sikit. Tadi tak rasa nak makan, sekarang rasa nak pulak. Hehehe..” Sambil tersengih-sengih minta belas kasihan.

Mak cik dia ni masih lagi buat muka toya. Konon macam hebat la kan, sekali terpandang muka ayah dengan pandangan yang cukup menyeramkan. Nak tak nak, terpaksalah beralah.

“Kamu ni, dengan budak pun kamu nak berkira, jangan lah berkasar sangat dengan mereka berdua ni. Dia tu dah la tak ada  mak, ayah pula jauh, dengan kita jelah tempat mereka dua beradik ni nak bermanja pun.” Tegur ayah dengan sikap aku yang agak kurang matang.

“Lyn gurau jelah ayah. Lyn tahu semua tu. Lyn saja nak usik si Wan ni. Dah lama tak gurau, kan Wan?” sambil menghulurkan pinggan buah nangka tadi ke depan dia.

Emak yang sedari tadi mencuci pinggan mangkuk di singki akhirnya duduk bersama kami menikmati  buah nangka yang ternyata lazatnya sehingga masing-masing tidak mengeluarkan sebarang suara. 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hak Cipta Terpelihara

Ini adalah blog peribadi. Setiap karya dan penulisan dalam http://inilzazain.blogspot.com/ adalah hasil daripada penulis ini sendiri. Adalah tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh sesiapa untuk menggunakan bahan dalam blog ini di muat turun, dicetak mahupun dipaparkan dalam blog kecuali dengan keizinan penulis ini sendiri. Terima kasih dan Salam Sayang dari Inilza Zain.